PETALING JAYA: Kekurangan dana memaksa beberapa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai-buang, menimbulkan persoalan risiko terhadap pesakit, sumber dalam sektor kesihatan memberitahu FMT.
“Ia termasuk peralatan pembedahan saraf untuk kardiologi, bahkan untuk pembedahan am. Kalau dulu peralatan itu dibuang, doktor kini diminta mengitar semula peralatan itu.”
Sumber tersebut memberi contoh alat kateter jantung digunakan dalam saluran darah dan biasanya dipakai buang.
Tambahnya, beberapa hospital juga gagal membaiki mesin yang rosak disebabkan pemotongan bajet dalam sektor kesihatan.
Sumber itu berkata, bajet yang diperuntukkan sudah pun kecil, dan pemotongan peruntukan adalah sesuatu yang sukar ditangani.
“Tahun lalu, sejumlah RM1 bilion dipotong. Hospital akan tersepit dalam keadaan ini memandangkan bilangan pesakit semakin bertambah selepas berpindah daripada sektor swasta,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan penambahan sebanyak 30% pesakit di hospital awam, di sebalik kenaikan kos harian dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Sumber yang sama berkata langkah jimat cermat yang dilakukan itu mengundang risiko kesihatan terhadap pesakit.
“Bagaimana sekiranya peralatan itu pernah digunakan ke atas pesakit yang menghidap penyakit berjangkit?” soalnya.
“Inilah sebabnya peralatan itu dilabel pakai buang supaya ia digunakan hanya sekali.”
Beli ubat di tempat lain
Sementara itu, hospital kerajaan juga berdepan masalah membekalkan ubat kepada pesakit, dan mereka diminta mendapatkan bekalan ubat dari luar.
Pesakit juga diminta agar melakukan beberapa ujian di luar, disebabkan kekurangan dana, dan membawa balik laporan ujian itu untuk rujukan hospital.
“Hospital memberi alasan ujian yang dilakukan adalah ‘tidak perlu’. Hakikatnya, mereka tidak ada wang.”
Memburukkan lagi keadaan ialah peralatan mesin yang rosak yang tidak dapat dipulihkan.
“Ada mesin yang tersadai dan tidak dibaiki untuk lebih setahun. Semua mesin ini penting untuk pembedahan,” katanya, memberi contoh alat memantau jantung yang rosak.
“Mungkin perlu tunggu sehingga peruntukan bajet akan datang sebelum dapat membaikinya.”
Dalam kes kecemasan, hospital terpaksa memindahkan pesakit ke hospital lain yang mesinnya berfungsi.
Malangnya, kata sumber itu, terdapat senarai menunggu yang panjang.
‘Isu ditutup’
Ditanya sama ada warga hospital membangkitkan masalah demikian kepada Kementerian Kesihatan, sumber itu berkata ia tidak timbul.
“Tidak sesiapapun dibenarkan bercakap mengenainya. Terdapat arahan melarang cakap-cakap mengenai bajet, daripada staf sehinggalah pengarah hospital.
“Tetapi apa yang boleh dilakukan kementerian? Kerajaan yang memperuntukkan bajet kepadanya.”
Sumber itu berkata, hospital kini beralih kepada ubat tiruan sebagai langkah jimat cermat.
“Kami membeli ubat-ubatan yang paling murah untuk menjimatkan wang. Bila mana pembekal dapat menawarkan harga paling murah, kita terima.”
Seorang doktor di sebuah hospital kerajaan di Selangor berkata beliau pernah menyaksikan sendiri bagaimana peralatan pakai-buang diguna semula.
Menurut doktor berusia 32 tahun itu, amalan itu bermula sejak 2015.
“Ini adalah ‘padding’ yang anda letak di dada pesakit dipanggil pad defibrilasi, yang hanya untuk satu kegunaan. Tetapi disebabkan tiada bajet, kami diminta menggunakannya beberapa kali.
“Saya nampak sendiri topeng penebula dan tiub digunakan semula walaupun ia alat pakai-buang. Kami diminta mencuci dan menggunakannya untuk pesakit lain.”
‘Kami tak tahu berapa ramai pesakit boleh diselamatkan’
Doktor berkata, biasanya tiada wang untuk membaiki atau menyelenggara peralatan di hospital.
“Kami tidak tahu berapa ramai orang yang tidak dapat diselamatkan kerana tiada peralatan untuk mereka.
“Beberapa bulan sebelum akhir tahun, anda pasti kehabisan bekalan dan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kadangkala kami tidak boleh memasukkan tiub untuk pesakit, khasnya bayi, kerana kami tiada tiub yang sesuai untuk mereka.
“Kami ke wad pediatrik dan mereka hanya mempunyai 2 tiub terakhir dan merayu kami tidak mengadu mengenainya.”